Thursday, December 13, 2018

SEJARAH PEMBINAAN SEKOLAH

SEJARAH PEMBINAAN SEKOLAHSK KAMPUNG BARU, SAMARAHAN


                    Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Kota Samarahan, Sarawak (YBA8108) merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam Kampung Baru, iaitu sebuah perkampungan kaum Melayu yang boleh dikatakan terbesar di daerah Kota Samarahan. Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1953. Sekolah ini telah wujud sejak 61 tahun yang lalu. Sekolah pertama ini telah dinamakan "Haji Mat School" yang mana pembinaannya dibuat secara bergotong royong. Menurut sejarah, sekolah ini dinamakan sedemikian rupa kerana mengambil sempena nama seorang penduduk Kampung Baru yang disegani dan dihormati, kuat dan berani.

                  Mengikut kisahnya, nama dan asal Kampung Baru dulu adalah Kampung Patung. Pada suatu masa, Kampung Patung telah dilanda sejenis penyakit serius.Ramai yang telah menjadi korban.Oleh yang demikian, Haji Mat telah mengarahkan supaya semua penduduk kampung pindah ke tempat baru. Hingga kini perpindahan baru ini digelar Kampung Baru.

                 Ditempat baru ini, Haji Mat telah menggalakkan penduduk kampung supaya mencari pengetahuan. Kata sepakat dicapai oleh penduduk kampung. Sebuah sekolah telah dibina secara persepakatan dan gotong royong.Untuk mengenang jasa dan keberanian beliau,penduduk kampung kemudian menamakan sebagai "Haji Mat School". Sekolah ini dibina atas Lot 1 Blok 59, Muara Tuang District. Sekarang tanah tersebut telah dipecahkan kepada Lot 6906 dan 6908 disebabkan parit telah dibina oleh pihak jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

                Pada tahun 1979, bermulalah satu era baru bagi kampung ini dimana sebuah sekolah baru dibina dengan pembiayaan oleh Bank Dunia.Bangunan yang dibina kesemuanya terdiri daripada bangunan kayu setingkat yang mengandungi 2 blok. Blok pertama mengandungi 4 buah kelas, sebuah pejabat Guru Besar dan Pejabat Am (berkongsi) manakala blok kedua pulak mengandungi 5 buah kelas. Pembinaan kedua-dua blok ini siap pada akhir tahun 1980. Selepas itu, semakin lama semakin berkembang. Jumlah enrolmen pula semakin bertambah dari tahun ke tahun. Namun begitu, pembinaan bangunan tambahan untuk menampung pertambahan ini agak perlahan. Hanya terdapat dua blok tambahan yang dibina. Itu pun dibina secara bergotong royong.

               Kini usia sekolah ini menjangkau usia 61 tahun. Sekolah ini masih belum banyak menerima perubahan yang ketara dan drastik. Sehingga kini sekolah ini masih berwajah seperti dahulu. Walaupun pembaikan giat dijalankan , sekolah ini masih kehausan pembaharuan dan perubahan agar setanding dengan sekolah - sekolah yang didirikan sezaman dengannya. Alhamdulillah berkat usaha pemimpin - pemimpin maka terbina lagi  satu blok 6 buah kelas yang baru diserahkan kepada pihak sekolah pada 13 Januari 2017.Semoga dengan pentambahan bilangan dapat memberi keselesaan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran anak - anak.

No comments:

Post a Comment